Friday, August 14, 2009

CANTIK YANG DILAKNAT (PART 2)

IN THE NAME OF ALLAH, MOST GRACIOUS, MOST MERCIFUL..

Bertatu dan mencukur alis/kening

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya, "Allah mengutuk (melaknat) perempuan yang bertatu atau minta di buat tatu, yang mencukur alis dan mereka yang meminta dicukur alis mereka, perempuan yang membentuk giginya agar kelihatan cantik dan mereka yang mengubah ciptaan Allah." (Hadis riwayat Thabarani dan Ibnu Mas'ud)




Maksud mengubah ciptaan Allah SWT ialah membuat perubahan pada ciptaan Allah yang telah sempurna secara pandangan umum dan adat atas dasar tidak berpuas hati dengan anugerah itu, bukan kerana memperbaiki atau memulihkan kecacatan. Mencabut bulu kening yang merupakan anugerah dan ciptaan Allah SWT yang sempurna dan membuat atau melukis bulu kening yang baharu selepas itu agar menepati cita rasa sendiri supaya kelihatan lebih cantik, menawan dan bergaya adalah perbuatan yang haram di sisi Islam. Jika perbuatan mencabut bulu kening itu disebabkan ia tumbuh berselerak dan tidak kemas yang amat teruk, maka hal ini tidaklah termasuk dalam erti kata mengubah ciptaan Allah SWT. Lagipun jika yang dicabut itu hanyalah yang berselerak dan bukan termasuk bulu yang dipanggil kening serta tidak membuat lukisan semula terhadapnya. Ini dilakukan atas dasar menjaga kekemasan diri bukan kerana tidak puas hati dengan ciptaan Allah SWT kerana Allah itu cantik dan sukakan kecantikan.


Tatu iaitu memberikan tanda pada muka dan kedua-dua tangan dengan warna biru dalam bentuk ukiran. Sebahagian orang Arab, khususnya golongan wanita membuat tatu di sebahagian besar tubuh badan mereka. Bahkan pada masa pengikut agama membuat tatu dalam bentuk persembahan dan lambang agama mereka, misalnya orang Kristian melukis salib di tangan dan dada mereka. Perbuatan yang buruk menjadi semakin besar pengharamannya apabila ia dilakukan dengan menyeksa dan menyakiti badan iaitu dengan menusuk-nusukkan jarum pada badan orang yang dibuat tatu itu. Semua ini menyebabkan laknat, baik terhadap yang membuat tatu atau orang yang minta dibuat tatu.

Kikir gigi

Dan yang disebut mengikir gigi dalam hadis di atas, iaitu merapikan dan memendekkan gigi. Biasanya dilakukan oleh perempuan. Kerana itu Rasulullah melaknat perempuan-perempuan yang mengerjakan perbuatan ini (tukang kikir) dan minta supaya dikikir. Kalau ada laki-laki yang berbuat demikian, maka dia akan lebih berhak mendapat laknat. Termasuk diharamkan seperti halnya mengikir gigi, yaitu menjarangkan gigi. Yang disebut 'al-Falaj' (dalam hadis asal), yaitu meletakkan sesuatu di sela-sela gigi, supaya nampak agak sedikit jarang. Di antara perempuan memang ada yang oleh Allah dicipta demikian, tetapi ada juga yang tidak begitu. Kemudian dia meletakkan sesuatu di sela-sela gigi yang berhimpitan itu, supaya giginya menjadi jarang. Perbuatan ini dianggap mengelabui orang lain dan berlebih-lebihan dalam berhias yang samasekali bertentangan dengan jiwa Islam yang sebenarnya. Perlu diingat, hal menjarangkan gigi ini adalah 'trend' Jahiliyah di zaman Jahiliyah dan ia dianggap cantik.




Daripada hadis-hadis yang disebutkan di atas, maka kita dapat mengetahui tentang hukum pembedahan kecantikan seperti yang terkenal sekarang kerana bagi memenuhi selera nafsu dan syahwat, iaitu kebudayaan Barat yang amat materialististik, sehingga begitu ramai perempuan dan laki-laki yang mengorbankan wangnya beribu-ribu untuk mengubah bentuk hidung, payudara atau yang lain. Semua ini termasuk yang dilaknat Allah dan Rasul-Nya, kerana di dalamnya terkandung penyiksaan dan perubahan bentuk ciptaan Allah tanpa ada suatu sebab yang mengharuskan untuk berbuat demikian, melainkan hanya untuk pemborosan dalam hal-hal yang bersifat 'show' dan lebih mengutamakan pada bentuk, bukan inti, lebih mementingkan jasmani daripada rohani.

Bagaimanapun Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menyebut, "Adapun kalau ternyata orang tersebut mempunyai cacat yang kiranya menjijikkan pandangan, misalnya kerana ada daging tambah yang boleh menimbulkan sakit jiwa dan perasaan, maka ketika itu adalah tidak berdosa orang untuk berubat selagi dengan tujuan menghilangkan kecacatan atau kesakitan yang boleh mengancam hidupnya. Kerana Allah tidak menjadikan agama buat kita ini dengan penuh kesukaran." (Al-Halal wal Haram Fil Islam)

Susuk dan sihir

Adapun pemakaian susuk, ia dianggap lebih berat kerana ia biasanya melibatkan ilmu sihir. Susuk juga dipakai di tempat tertentu seperti muka, badan, malah kemaluan dan jika ada yang mendakwa menggunakan ayat al-Quran, jelas bertentangan dengan Islam. Melihat kepada apa yang didakwa (menggunakan ayat al-Quran), ia sama seperti bomoh melakukan jampi tetapi mendakwa menggunakan ayat al-Quran. Tentang pembelajaran ilmu sihir, al-Quran mengatakan, "Mereka belajar suatu ilmu yang membahayakan diri mereka sendiri dan tidak bermanfaat buat mereka." (Surah al-Baqarah, ayat 102)



Rasulullah SAW menilai sihir sebagai salah satu daripada dosa besar yang boleh menghancurkan sesuatu bangsa, dan dapat merendahkan darjat pelakunya di dunia ini lagi. Justeru itu Rasulullah SAW bersabda, "Jauhilah tujuh perkara besar yang merusak. Para sahabat bertanya: Apakah tujuh perkara itu, ya Rasulullah? Jawab Nabi, yaitu: 1) menyekutukan Allah; 2) sihir; 3) membunuh jiwa yang oleh Allah diharamkan kecuali karena hak; 4) makan harta riba; 5) makan harta anak yatim, 6) lari dari peperangan; 7) menuduh perempuan-perempuan baik, terjaga dan beriman." (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Sebahagian ahli fiqh menganggap, sihir itu bererti kufur, atau membawa kepada kufur. Sementara ada juga yang berpendapat, ahli sihir itu wajib dibunuh demi melindungi masyarakat dari bahaya sihir. Al-Quran juga telah mengajar kita supaya kita suka berlindung diri kepada Allah dari kejahatan tukang sihir, firman-Nya, "(Dan aku berlindung diri) dari kejahatan tukang meniup simpul." (Surah al-Falaq, ayat 4)
Peniup simpul salah satu cara dan ciri yang dilakukan ahli-ahli sihir. Dalam salah satu hadis dikatakan, "Barangsiapa meniup simpul, maka sungguh ia telah menyihir, dan barangsiapa menyihir maka sungguh dia telah berbuat syirik." (Hadis riwayat Thabarani dengan dua sanad; salah satu rawi-rawinya adalah thiqah)

Susuk ini ada persamaannya dengan peniup simpul ini, iaitu dijampi susuk itu dan kemudiannya di masukkan ke dalam tubuh. Jelas, bahawa pemakaian susuk amat mampu mempengaruhi seseorang itu agar mempercayai adanya kuasa lain selain kuasa Allah. Ini juga telah diharamkan melalui hadis-hadis yang sahih sebagaimana pengharaman kepercayan kepada tangkal dan menggantungnya. Pemakai susuk akan mula percaya dan seterusnya bergantung kepada susuk digunakan dalam kehidupan hariannya. Ketika itu, jelas mereka dalam keadaan syirik dan menanggung dosa besar.
Kesimpulannya, Islam tidak menghalang umatnya kelihatan cantik, malah menggalakkan umatnya menghias diri, namun ia perlu mengikut cara dibenarkan dan tidak membabitkan perbuatan syirik seperti memakai susuk mahupun pembedahan plastik dan botox. Hanya rawatan ke atas penyakit yang tidak boleh sembuh dengan sendirinya sahaja yang diharuskan seperti memasang gigi palsu di tempat gigi yang rongak (bukan mematahkan gigi dan menggantikannya dengan yang lain), mengatur susunan gigi yang tidak tersusun (tapi bukan mengasah atau mengikir)...

"kecantikan menarik perhatian, tp personaliti menarik hati"

No comments:

Post a Comment